BANK Dunia menggesa semua negara mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan langkah pembendungan wabak Covid-19 dengan meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan melaksanakan langkah ekonomi yang disasarkan bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, perniagaan dan pekerja.

Pengurus Negara Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad berkata, ini termasuk suntikan mudah tunai yang lebih besar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada sektor kewangan.

Katanya, penting bagi negara mengamalkan pendekatan bersepadu terhadap pembendungan wabak Covid-19 dan dasar makroekonomi serta kerjasama antarabangsa dan perkongsian awam-swasta untuk memastikan pengeluaran dan pembekalan barangan perubatan utama di seluruh sempadan antarabangsa.

“Malaysia juga tidak terkecuali daripada kejutan luaran yang menjejaskan makroekonomi negara.

“Dalam tempoh dua dekad lalu, Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997, kelembapan ekonomi global selepas peristiwa 9/11 pada 2001 dan krisis kewangan global pada 2008.

“Setiap kejutan ini menjejaskan ekonomi Malaysia dari segi berbeza. Krisis pertama menyebabkan penguncupan ekonomi paling besar dalam sejarah Malaysia di mana kadar pertumbuhan bertukar negatif 7.35 peratus pada 1998.

“Negara ini berjaya mengatasi krisis yang besar melalui dasar yang berhemah dan penggarisan langkah penting untuk melindungi Malaysia daripada dua kejutan ekonomi yang muncul seterusnya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, Covid-19 juga muncul ketika persekitaran ekonomi global mengalami sedikit kelembapan.

“Sebelum tersebarnya Covid-19 ke seluruh dunia dua bulan lalu, pertumbuhan ekonomi hampir semua negara sudah semakin perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Wabak di Wuhan, China kini menular menjadi krisis kesihatan awam antarabangsa dan krisis ekonomi global yang menyebabkan kejutan bekalan dan kejutan permintaan meliputi lebih 180 negara.

“Pada masa sama, tatkala pandemik global ini berlarutan, harga minyak antarabangsa mengalami kejatuhan pada awal Mac lalu.

“Perkembangan ini menimbulkan tekanan fiskal tambahan terhadap negara pengeluar minyak termasuk Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pakej rangsangan ekonomi Malaysia mengandungi elemen tepat untuk menangani kesan krisis Covid-19.

“Malaysia telah melalui pelbagai krisis ekonomi. Menerusi keazaman, pemikiran yang jelas, penyusunan dasar yang teliti serta menggunakan sepenuhnya pengalaman yang lalu, Malaysia pasti dapat menempuh badai yang luar biasa ini,” katanya.

0Shares
0